DIGANGGU PONTIANAK

Pencerita: aiNaj

.

.

Lara seorang anak yang tak mendengar kata. Puas emaknya menasihatkan. Dah besar panjang perangai tak pernah nak berubah. Degil !


Tapi degil-degil si Lara ni pun bila disuruh menghantar kuih ke gerai Kak Wan dan mengutip duit jualan, Lara tidak membantah. Suatu hari, Lara dimarahi emaknya sebab tak menutup lauk dengan tudung saji. Habis kene curi dengan si tompok ikan goreng semua.


Lara macam biasa buat muka bodohnya dan terkadang sampai melawan balik cakap emaknya itu.


“Apa salahnya sekali-sekala bagi si tompok tu dapat makan ikan puas-puas, kita kan setiap hari dah dapat makan yang sedap-sedap…patut la si tompok tak suka dengan emak. Kedekut !”. dengan selamba saja Lara menuduh emaknya kedekut.


“Ha elok lah tu…melawan cakap aku…biar kau dicakar apa-apa nanti !”. hilang sabar emaknya mendengar keceluparan mulut Lara.


Terpaksa la ayah Lara masuk campur hal dua beranak itu. Menenangkan keadaan dan menyuruh Lara ke gerai mengambil duit dengan tujuan menenangkan si emak. Lara bersetuju, sekurang-kurang ada jugak duit upah untuk dia hari ini.


Hari dah gelap. Tapi Lara masih tak balik-balik lagi. Biasanya beberapa minit sebelum maghrib Lara dah balik. Risau pula hati Yati dan Leman apabila Lara tidak sampai rumah lagi. Lalu Leman keluar untuk mencari Lara, ditemui Lara pengsan dicelah pokok pisang tidak jauh dari rumah.


Berdarah dibahagian bahu kiri anaknya, agak dalam juga lukanya. Malam itu Lara dihantar ke klinik di pekan. Setelah rawatan dan dibawa balik, Lara menceritakan apa yang terjadi.


“Masa tu lepas je Lara ambil bekas kuih dan duit dari Kak Wan, Lara jalan la balik ikut jalan biasa...selalu ok je jalan tu walaupun dah nak senja, cuma kali ini keadaan berbeza sikit...waktu nak melalui kawasan berhampiran pokok pisang, Lara ternampak seorang perempuan berpakaian putih tengah tengok je Lara. ‘Siapa pula dia ni’ Lara cakap dalam hati je la time tu.” bersungguh Lara bercerita.


“Tak sempat bertanya siapa gerangan, tiba-tiba perempuan tu menyeringai kat Lara...matanya merah dan bertaring panjang. Lara nak lari tapi kaki ni tak boleh bergerak pulak...muka perempuan tu terus bertukar jadi pontianak dan terus dia cakar bahu Lara. Lepas tu Lara tak ingat apa yang jadi dah...tau-tau pengsan...tak pasal-pasal berbekas bahu Lara ni dikerjakan pontianak tu.” kata Lara sambil mengusap bahunya.


“Kite elok jalan tak kacau dia...dia kacau kite pulak.” sambung Lara lagi tidak puas hati.


Leman dan Yati berpandangan sesama sendiri. Benarkah apa yang diceritakan oleh anaknya itu. Adakah pontianak kembali menganggu kampungnya semula ? Tiba-tiba Yati teringat kisah lima tahun yang lepas.


*****


Malam itu, Mariam telah pergi ke perigi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya seorang diri. Suaminya belum balik dari kerja. Terpaksa lah dia mengambil air di perigi untuk digunakan bagi menyediakan hidangan makan malam suaminya. Sewaktu berjalan untuk balik ke rumah sambil menjinjit baldi berisi air, dia ditegur oleh seorang wanita tua yang tidak dikenali.


“Mengapa jalan malam-malam ni seorang diri ? Awak tu mengandung…baliklah cepat !” sapa wanita tua itu.


“Tak makcik…suami saya belum balik…sebab tu saya ambil air di perigi ni.” kata Lara sambil tersenyum.


“Balik lah cepat…awak tu mengandung.” gesa wanita tua yang berkaki tiga itu. Rupanya ada sepasang mata lain yang telah memerhati mereka dari kejauhan.


“Baiklah makcik.” jawab Mariam lalu berjalan semula ke rumahnya dengan segera. Hatinya kian berdebar-debar.


Sesampai saja dirumah, Mariam segera mengunci pintu dan tingkapnya. Cerek buruknya di capai dan diisi dengan air yang di ambilnya tadi. Dia lalu menjerang cerek itu di atas dapur. Pada waktu itu, guruh berdentum-dentam di langit dan disertai tiupan angin yang kencang. Mariam dapat mendengarnya dari dalam rumahnya.


Tiba-tiba pintu rumah Mariam diketuk kuat. Dia menarik nafas panjang sambil memastikan sama ada dia mendengar ketukan itu dari rumahnya. Setelah dia pasti, segera dia mendekati pintu sambil bersuara.


“Siapa tu ?”


“Aku Mak Bidan…suami kau pesan suruh aku datang.”


Mariam segera membuka pintu itu dan tersenyum. Lega rasanya Mak Bidan datang pada saat-saat hatinya tak keruan ini. Dia mengajak Mak Bidan itu masuk ke dalam rumahnya.


“Suami kau pesan suruh tengok-tengokkan keadaan kandungan kau…mari aku periksa !”


Mariam terus baring di atas katil dan Mak Bidan itu segera menyapu minyak urut di perut Mariam sambil mengusap-usap perut Mariam yang sudah 6 bulan itu.


“Mengereng ke kiri.” arah Mak Bidan sambil terus mengurut-urut perut Mariam. Terlena Mariam seketika kerana berasa lega dengan urutan yang diberikan.


Mariam tidak sedar bahawa Mak Bidan itu bukan orang yang sebenarnya tetapi adalah jelmaan pontianak yang sudah memerhatikannya sejak di perigi tadi. Mariam tersentak apabila mendapati wajah Mak Bidannya itu berubah menjadi pontianak.


Tiba-tiba wanita tua yang menegur Mariam tadi datang memberi pertolongan, dia sudah menjangkakan apa yang akan terjadi. Sengaja dia duduk bersembunyi dibelakang pokok rumah Mariam. Betul tekaannya, pontianak akan datang menganggu Mariam.


Wanita tua itu menghentakkan tongkatnya dilantai dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Mariam yang masih tersedar turut membaca ayat-ayat suci dari Al-Quran yang diingati pada waktu itu. Pontianak itu mengilai sekuat-kuatnya. Wanita tua itu lalu menghayunkan tongkatnya ke arah pontianak itu yang terus terbang keluar melalui tingkap rumah yang terbuka luas.


Pucat muka Mariam ketika itu tapi dia bersyukur ada yang sudi membantunya. Nenek itu mendapatkannya dan terus terusan mengucapkan syukur kerana ibu yang sarat mengandung itu tidak sempat diapa-apakan oleh pontianak yang datang menganggu itu.


Setelah keadaan kembali tenang, Mariam meminta jasa baik nenek itu untuk tinggal menemaninya sehingga suaminya balik nanti. Nenek itu bersetuju untuk menemaninya. Mariam bersyukur dapat terhindar daripada menjadi korban pontianak itu.


*****


Sejak dari hari itu kampungnya aman damai tanpa gangguan pontianak. Penduduk kampung tidak perlu khuatir lagi ke surau untuk solat jemaah. Anak-anak yang balik mengaji juga tidak ketakutan termasuk la Lara, boleh la dia menghantar kuih dengan aman. Tapi sudah lama dia tidak mendengar kisah pontianak ini. Tiba-tiba muncul pula.


Hari ini Lara tidak menghantar kuih ke gerai, ayahnya suruh dia berehat sahaja. Leman sahaja yang menggantikan tempatnya. Risau Leman jika terjadi apa-apa lagi pada anaknya. Lara sedang leka membaca novel seram sambil berbaring diatas sofa. Tiba-tiba emaknya menjerit dari dapur.


“Setahu mak yang calar bahu aje…tangan masih boleh gunakan ? Tak reti-reti angkat kain kat ampaian tu ? dah nak senja dah ni.” lantang suara emaknya.


“Aduh mak ni…tak boleh tengok orang nak bersenang-lenang sikit lah…saje je dengki !” rungut Lara sambil bangun dan mencapai bakul kain.


“Kalau kau nak duduk bersenang-lenang tunggu anak Raja datang pinang kau...ha masa tu senang-lenang sangat lah.” kata Yati memerli Lara.


“Eleh...betul-betul anak Raja datang pinang Lara nanti mak jugak tumpang senang.” balas Lara tidak mahu kalah.


“Aah...memang la anak Raja yang datang nanti...tapi tu anak Raja Muthusamy tu yang datang nanti...mak setuju aje kalau dia masuk meminang kau.” Yati berkata sambil menahan tawanya.


“Ish mak ni...ada ke anak si mutu tu nak dibuat menantu...agak-agak la pun.” marah Lara sambil keluar ke ampaian.


Sedang leka mengambil baju-baju diampaian tiba-tiba Lara terpandang sesusuk tubuh dibelakang pokok pisang. Tubuh itu berbaju putih dan berambut panjang menutup mukanya. Lara sudah sedia membuka langkah seribunya ‘mak pontianakkk...belum malam lagi dah muncul’ katanya dalam hati sambil memecut masuk kedalam rumah.


Pelik Yati dengan perangai anak daranya yang seorang ni. Berlari-lari masuk ke rumah. Sampai selipar berterbangan entah kemana. Kain yang didalam bakul habis berselerakkan. Memang tak boleh diharap sungguh.


“Kau ni dah kenapa Lara ? Nampak hantu ke ?” tanya Yati geram.


“Mem...memanggg nampak hantu mak...pon...pontianakk belakang pokok pisang tu...Lar...Lara rasa nak pengsan ni mak.” kata Lara tergagap-gagap. Yati melihat arah yang dikatakan anaknya tadi. Kosong.


“Takde sesiapa pun...dah jangan nak bagi alasan nak pengsan la ape la...pergi mandi...lepas solat turun siapkan makan malam.” arah Yati sambil meninggalkan Lara.


“Kutip balik kain baju yang berselerak ni...baru buat kerja sikit macam-macam hal.” katanya lagi.


Lara mengecilkan matanya memandang Yati. Rasa tidak puas hati bila emaknya tidak percaya apa yang dia nampak tadi. Lara mengutip baju-baju di lantai dan dihenyak-henyaknya ke dalam bakul.’Takpe...tunggu bila mak pulak yang kene nanti’ omelnya dengan hati yang panas.


*****


Malam tu Yati terasa hendak membuang hajat kecil. Oleh kerana suaminya tiada dirumah kerana berjumpa kawan, berkali-kali Yati mengejutkan Lara untuk temankannya. Jam menunjukkan pukul 11.45 malam. Lara yang sedang lena diulit mimpi malas hendak temankan emaknya. Matanya bagai digam-gam susah nak buka. Bosan mengejutkan Lara Yati turun kedapur sambil berkata..


“Takpe lah kalau tak nak teman...tapi esok-esok kalau kau nak terkucil tengah malam...kau pergi lah sendiri ye.”


Cepat-cepat Lara bangun dari tempat tidurnya. Dengan badan yang terhuyung-hayang dia mengekori emaknya turun kedapur. Sampai dibilik air emaknya berhenti dan memandang Lara. Matanya tak berkelip-kelip memandang Lara. Lara pelik. Ditoleh kiri dan kanan kut-kut ada makhluk yang menyeramkan muncul.


“Kot ye pun nak teman...jangan lah ikut sampai dalam bilik air sekali.”


Baru Lara perasan yang dia ikut masuk sekali. Tersengih-sengih Lara. Yati menjeling tajam. Sementara menunggu emaknya, Lara duduk ditangga hendak lelapkan mata sekejap. Belum sempat nak menyandarkan kepala ke tiang tangga, emaknya sudah keluar dari bilik air. Tanpa berkata apa-apa emaknya terus menarik tangannya naik keatas. Sampai nak tersungkur Lara dibuatnya. ‘Apa hal ni’. Nak tanya tak berani pula. Yati mengarahkan Lara supaya tidur.


“Dah...tidur.”


Lara akur lalu naik ke atas katil untuk tidur. Baru nak melelapkan mata dia terdengar seperti orang berjalan atas daun kering diluar. Sreettt...Sreettt...Sreetttt tiba-tiba terus bunyi itu hilang dan digantikan dengan bauan bunga melur. Memikirkan yang didepan rumahnya ada pokok melur, Lara ambil positif tentang bau itu. Manakala bunyi seret atas tanah itu mungkin biawak.


Sangkaan Lara meleset kerana bunyi seretan itu ternyata bukan lah biawak tetapi pontianak. Sewaktu Leman pulang dari berjumpa kawan dia ternampak pontianak sedang berjalan didepan rumahnya lalu menghilangkan diri dibalik pokok pisang belakang rumah. Seram Leman ketika itu.


Keesokkan petang lepas Lara balik dari sekolah, dia bertanyakan pada emaknya apa yang jadi malam tadi. Emaknya memulakan cerita seram semasa berada dibilik airnya. Dah la bilik air tak berbumbung, berlubang sana sini. Belakang bilik air pula ada sebatang pokok petai yang besar sehingga berjuntai-juntai dahan pokok petai tu masuk kedalam bilik airnya. Mahu tak seramnya.


“Lepas tutup pintu bilik air mak pun teruskan hajat mak tu...mak perasan daun-daun petai tu jatuh berguguran satu persatu...pelik la mak...nak kata angin takde pulak tanda-tanda nak hujan...makin lama makin banyk yang jatuh...mak pun pandang la atas nak tengok kenapa banyak sangat daun jatuh...sekali bila mak pandang mak ternampak perempuan berselubung kain putih...muka tak nampak sebab dah terlindung dengan rambutnya...kulit dia pucat...kuku panjang hitam...bende tu duduk sambil berjuntai kaki main-main rambut dia...tiba-tiba dia pandang mak sambil tersenyum...mak pun ape lagi selesaikan cepat urusan mak tu cepat-cepat nak keluar...meremang bulu roma mak bila dia sengih macam tu.” terang Yati panjang lebar.


“Masa tengah bergelut mak nak bukak pintu bilik air tu mak dengar dia tergelak halus...mak pun tak henti-henti beristighfar...kebas kaki mak rasa macam tak pijak lantai...terus mak bukak pintu dan keluar.” katanya lagi.


“Benda yang sama lah mak Lara nampak semalam...Lara dah cakap mak tak percaya.” kata Lara kepada emaknya. Kesian pula dia melihat emaknya yang masih terkejut itu.


Yati dan Lara ceritakan hal ini kepada Leman. Leman menjadi tak keruan, dah dua kali keluarganya diganggu. Hari itu anaknya, kini isterinya pula. Dia membuat keputusan untuk berjumpa ketua kampung untuk buat sesuatu.


Orang ramai berkumpul di surau dan membincangkan hal ini. Semua sudah sepakat untuk menghapuskan makhluk yang berkeliaran dikampung itu. Mereka memanggil seorang Ustaz dari kampung seberang. Tiga malam mereka membuat solat hajat serta bacaan-bacaan suci ayat Al-Quran. Berharap pontianak itu tidak lagi menganggu mereka.


Akhirnya, seminggu sudah tidak lagi kedengaran orang kampung diganggu. Kehidupan mereka semua kembali aman. Setiap malam mereka akan membaca surah Yassin apabila usai menunaikan solat Isya’. Alhamdulillah dengan Izin dari Allah S.W.T mereka tidak lagi diganggu pontianak.

.

TAMAT